Akalmu letaknya di mana

Aakalmu letaknya di mana?

Selepas sekian lama tidak menerjemahkan pemikiran dalam bentuk penulisan, hari ni saya nak buat satu post yang agak berat dan mungkin sedikit boring bagi anak-anak muda.

Sebenarnya dah lama saya nak buat artikel ni tapi asyik tergendala dengan macam-macam masalah dan aktiviti yang timbul.

Beberapa hari lepas, kita dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak malang yang berkhatan menggunakan teknologi laser di sebuah hospital swasta. Difahamkan, sebahagian dari kemaluan kanak-kanak tersebut telah terpotong disebabkan samada ralat mesin atau ralat manusia.



Hari ini saya terbaca satu post dari kakitangan hospital Kuala Lumpur (HKL) mengatakan seorang peguam yang mewakili keluarga kanak-kanak tersebut telah menyalahkan pihak HKL kerana kemaluan kanak-kanak tersebut yang telah berjaya disambung kembali oleh HKL menjadi kehitaman seolah-olah telah mati dan tidak berfungsi.

Diceritakan oleh kakitangan tersebut bahawa masyarakat mengecam HKL sebagai tidak professional ditambah pula dengan kenyataan peguam tersebut yang menyalahkan HKL seolah-olah pihak HKL melaksanakan prosedur tersebut walaupun tidak mempunyai kepakaran.

nice blue sky

Beberapa bulan leaps kita dikejutkan oleh satu tragedi yang terjadi dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Beberapa belon yang sepatutnya diisi dengan gas helium telah meletup apabila dipercayai seorang kakitangan menggunakan pemetik api untuk memotong tali yang mengikat belon-belon tersebut bagi tujuan diagihkan kepada kanak-kanak yang berada di situ.

Selang beberapa lama kemudian, satu posting dari pengguna Facebook menyatakan bahawa sebiji belon yang dibeli di pasar malam telah meletup apabila anaknya bermain pemtik api yang sudah kehabisan gas berdekatan belon tersebut. Belon tersebut juga sepatutnya diisi dengan gas helium.

Masyarakat menyalahkan kakitangan yang memotong tali belon dengan pemetik api dan ibu kanak-kanak yang yang bermain pemetik api. Hampir 80% masyarakat menyalahkan mereka.

Gas helium adalah inert gas yang tidak aktif, tidak terbakar, tidak meletup, lebih ringan dari udara dan digunakan sebagai alternatif kepada gas argon dalam proses welding.

Mengapa belon helium yang sepatutnya diisi helim meletup? Jawapannya mudah, gas yang digunakan dalam kedua-dua peristiwa tersebut bukanlah gas helium tetapi gas aktif dipercayai kemungkinan besarnya adalah gas hidrogen.

Gas hidrogen adalah sangat tidak stabil dan mudah meletup. Di sini kita melihat betapa tidak beretikanya peniaga belon pasar malam dan pembekal kepada majlis jabatan kerajaan menjual belon yang sepatutnya diisi dengan gas Helium tetapi diisi dengan gas Hidrogen untuk menjadi mainan kanak-kanak.

Walaupun tidak ada sumber api, jika belon ini tiba-tiba pecah dalam ruang tertutup seperti dalam kereta, kesannya amatlah buruk pada manusia. Perkara ini samalah seperti menjual pisau betul yang tajam sebagai pisau mainan untuk diberi pada kanak-kanak.

Ramai menyalahkan perbuatan menggunakan pemetik api dan bermain pemetik api berdekatan belon sebagai puncah kepada tragedi tersebut. Ramai juga menyalahkan Hospital Kuala Lumpur sebagai penyebab kemaluan kanak-kanak malang tadi tidak berfungsi.

Di sini saya ingin bertanya di manakah letaknya akal kalian yang menyalahkan orang yang tidak bersalah? Kita dikurniakan akal fikiran untuk berfikir dan bertaakul.

Bukanlah membuat kesimpulan mudah dari perkara yang berlaku, menjatuhkan hukum berdasarkan akibat, bukan berdasarkan punca kejadian.

Mengapa kalian menjadi terlalu malas sehingga berfikir pun sekadar 2 langkah sahaja sedangkan akal fikiran kita mempunyai kemampuan untuk befikir lebih dari itu. Mungkinkah disebabkan kita sudah dilatih dari kecil sebagai pengguna bukan pembuat?

Mungkinkah sebab zaman sekarang semuanya menjadi mudah tanpa perlukan usaha? Tak tahu boleh google, baca search result yang pertama tanpa membaca keseluruhan link yang keluar. Apakah akal fikiran kita sudah menjadi lembam disebabkan teknologi?

Sebelum menjatuhkan hukuman, fikirlah mengapa sesuatu kejadian itu berlaku, apakah root cause nya. Dalam hal belon tadi. Semua orang percaya dan yakin bahawa belon bukanlah satu permainan yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

Belon yang boleh terapung adalah diisi dengan gas helium sebagaimana diajar di sekolah dalam matapelajaran Sains. Bagaimana belon itu boleh meletup?

Sebab dalam belon tersebut diisi dengan gas hidrogen yang juga digunakan dalam Bom Hidrogen. Pemetik api atau apa-apa sumber nyalaan lain tidak memberi kesan jika gas helium digunakan.

Pemetik api tersebut tidak tersentuh secara direct contact dengan belon tetapi sebab sifat gas hidrogen yang amat tidak stabil, sebiji belon meletup dan menjangkitkan letupan pada belon-belon yang lain. Gas yang digunakan untuk membuat bom digunakan sebagai permainan kanak-kanak.

Berbalik pada kejadian yang berlaku pada kanak-kanak malang tadi, masyarakat menyalahkan HKL kerana HKL adalah pihak yang terakhir terlibat dalam kejadian ini dan menjadi kunci kepada corrective action yang dilaksanakan.

Jika HKL berjaya menyambung kembali anggota yang terpotong, masyarakat akan memuji tindakan pantas dan professional pihak HKL. Tetapi langit tidak selalunya cerah, prosedur yang dijalankan berjaya dilaksanakan tetapi anggota yang terpotong tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

Masyarakat terus menyalahkan HKL sebagai tidak professional dan tidak mempunyai kepakaran. Mengapa dan bagaimana kejadian ini berlaku terus dilupakan.

Anggota badan kanak-kanak tersebut bukanlah terpotong disebabkan kesilapan HKL tetapi kesilapan yang berlaku dalam proses berkhatan menggunakan laser di sebuah hospital swasta. Tetapi mengapa HKL yang dipersalahkan?

Kerana akal fikiran masyarakat sekarang mudah dipengaruhi media dan apa-apa yang nampak betul tanpa membuat kajian lebih lanjut. Dengan bahasa kasarnya bagai lembu dicucuk hidung. Kemana diheret ke situ perginya. Ke mana perhatian dialih, ke situlah tumpuan diberi.

Masyarakat zaman terdahulu hidup tanpa teknologi yang ada sekarang tetapi merekalah yang menggunakan akal fikiran mereka untuk mewujudkan teknologi yang ada sekarang yang telah membunuh daya fikir masyarakat sekarang.

Tidak dinafikan masih ada sebahagian masyarakat yang masih menggunakan akal untuk berfikir bukanlah sebagai pelengkap anggota badan sahaja tetapi untuk membentuk masyarakat yang berfikir masih terlalu jauh.

Pemerhatian saya di Australia, masyarakat yang asalnya lahir di sini atau dari negara moden yang lain, pemikiran dan perangai mereka amat berbeza berbanding masyarakat yang berasal dari negara dunia ketiga.

Dalam hal memandu di sini, saya tidak pernah risau untuk masuk ke jalan raya yang sesak daripada simpang tiga atau keluar dari stesen minyak kerana rata-rata pemandu di sini akan memberi jalan walaupun mereka sudah menempuh kesesakan selama sejam.

Lorong kecemasan tidak pernah disalahgunakan. Walau berlaku kesesakan macam manapun, tidak ada kenderaan yang beratur di tengah-tengah simpang.

Jika tersalah lorong atau ingin menukar lorong, cukup sekadar bagi isyarat akan ada kenderaan di belakang yang bagi jalan. Tidak perlu menggunakan isyarat tangan atau jari.

Begitu juga halnya jika berbelanja di pusat membeli belah, walaupun mereka sudah beratur selama 2 jam jika kelihatan anda cuma membeli satu atau 2 barang sahaja sedangkan mereka membeli penuh satu troli, tidak perlu mencelah di tepi kaunter atau merayu-rayu minta belas.

Mereka dengan senang hati akan menawarkan untuk memberi laluan pada anda untuk membuat pembayaran dahulu. Walaupun mereka sudah beratur selama 2 jam. Kadang-kadang saya malu sendiri dan enggan untuk ke depan.

Di sini di kebanyakan pasar-raya besar terdapat pembayaran layan diri yang mana pengguna akan scan sendiri barang yang dibeli dan buat pembayaran menggunakan cash atau kad di mesin tersebut.

Di sini kita boleh melihat betapa nilai kejujuran yang sepatutnya ada dalam setiap Muslim diadaptasikan dengan baik dalam jiwa masyarakat di sini walaupun mereka bukanlah seorang Muslim. Kadangkala saya terfikir pada tahun bilakah mesin pembayaran layan diri ini boleh digunakan di Malaysia?

Cukupkah bilangan orang-orang jujur dalam masyarakat Malaysia berbanding orang-orang yang tidak jujur untuk menggunakan mesin seperti ini dengan pengawasan yang amat minimum?

Bagaimana kita boleh mengubah apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ke arah yang lebih baik? Bagaimana kita mahu menjadikan generasi yang akan datang sebagai generasi yang berfikir? Bagaimana kita mahu anak-anak kita menggunakan akal fikiran sebelum menjatuhkan hukuman?

Segalanya bermula dari kita sendiri an bagaimana kita mengajar anak-anak kita. Jangan terus menjatuhkan hukuman apabila anak-anak membuat kesalahan sebaliknya terangkan apa kesalahan mereka dan kenapa mereka bersalah.

Jangan pula kita mengajar anak mengikut peraturan sedangkan kita memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Jangan terus memberikan kesimpulan dalam mengajar anak-anak, pandulah mereka untuk berfikir bagaimana sesuatu kejadian berlaku.

Jawablah dengan sabar segala pertanyaan anak-anak. Yang penting kita mesti menjadi contoh yang baik pada mereka bukan dari segi perkataan sahaja malahan dari segi perbuatan dan akhlak kita.

Semoga kita akan terus menjadi lebih baik dari semalam.

p/s Semua gambar adalah hiasan semata-mata

Leave a Reply