Candat Sotong, pengalaman pertama di perairan Terengganu

[Radiosenyap.com] Candat sotong adalah aktiviti yang pada asalnya menjadi mata pencarian bagi nelayan di Terengganu dan negeri-negeri pantai Timur yang lain. 1 May lepas saya telah merasai pengalaman Candat Sotong di Terengganu.

Terjebak

Saya menyertai trip candat sotong ini kerana ia adalah anjuran majikan saya dan desakan dari kawan-kawan sekerja. Disebabkan ada beberapa rakan yang meletakkan syarat kehadiran saya untuk mereka hadir maka saya gagahkan juga diri untuk menyertai trip tersebut

Peralatan

Dua hari sebelum tarikh yang ditetapkan saya mengajak seorang pemancing tegar menemani saya untuk membeli peralatan candat sotong.

Kelengkapan asas candat sotong



Hand Reel, tali dan umpan tiruan serta cili

Ubat Mabuk

Disebabkan saya tidak pernah menyertai aktiviti candat sotong dan aktiviti laut lain, saya mencari petua untuk mengelakkan mabuk laut ketika aktiviti candat sotong nanti.

Mabuk laut adalah keadaan di mana otak kita keliru akan keadaan tubuh badan kita yang terbuai-buai dalam gelora laut. Bagi orang yang susah nak sesuaikan diri dengan keadaan ekstrem, mabuk laut adalah hampir pasti akan berlaku ke atas diri mereka.

Bagi mendapatkan ubat mabuk yang paling berkesan, saya meminta nasihat dari kakak saya yang merupakan pegawai farmasi di hospital kuala terengganu. Kebetulan dia masih ada stok ubat yang dibeli waktu abang ipar saya menyertai aktiviti candat sotong beberapa ketika dulu.

Ubat mabuk laut candat sotong
Ubat yang saya makan

Candat sotong

Kami berkumpul di jeti Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Chendering pada jam 5.00 petang. Masa untuk bertolak ditetapkan pada jam 5.30 petang. Caj masuk kenderaan ke jeti ini adalah RM 5.00 untuk bermalam bagi aktiviti candat sotong.

Jeti chendering candat sotong
Berkumpul di jeti

Tepat jam 5.30 petang, encik Shahrul Mizan a.k.a king yang dilantik menjadi pengarah projek candat sotong kali ini sampai bersama-sama dengan CEO Dominant, Haji Baha dan terus membawa kami ke tempat untuk boarding.

Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan balik awal dan kumpulan balik lambat (dijadualkan untuk memancing keesokan paginya). Kumpulan balik awal akan diletakkan dalam bot kecik dan kumpulan balik lambat dalam bot besar.

Saya memilih untuk menyertai kumpulan balik awal kerana saya mempunyai perancangan untuk ke resort world kijal pada keesokan harinya bersama keluarga.

Bot candat sotong
Boarding

Perjalanan ke Port candat sotong

Perjalanan ke tempat candat sotong mengambil masa lebih kurang 1 jam. Tempat ini biasanya sudah ditanda dalam gps yang digunakan oleh pemilik bot yang membawa peserta aktiviti candat sotong. Ombak sedikit beralun dan kami dapat rasakan bot kami berayun-ayun dan melanggar ombak.

Tempat untuk candat sotong ini akan beralih semakin jauh ke tengah laut dari awal musim ke akhir musim. Untuk trip candat sotong kami, tempatnya tidaklah terlalu jauh ke tengah kerana saya masih boleh nampak jambatan gantung kuala terengganu dari tempat kami berlabuh.

Bot candat sotong
Perjalanan ke tempat candat sotong
Bot candat sotong
Encik Hidayat dan saya
Candat sotong 2019
Muka excited
Candat sotong terengganu
Encik Hidayat mula rasa mual

Berlabuh

Kami berlabuh kira-kira jam 7 petang. Waktu ni laut agak bergelora sehinggakan kebanyakan rakan saya sudah mula tewas. Saya pula Alhamdulillah tidak mabuk cuma saya macam khayal mungkin kesan ubat tadi.

Kami mula mencandat sambil dibimbing oleh kapten bot kami, Pok Dol. Dia memberi nasihat mengenai cara-cara mencandat dan cara-cara mengikat umpan. Tangkapan pertama bagi kumpulan kami diperoleh oleh saya kira-kira 30 minit selepas saya mula mencandat

Hasil candat sotong
Tangkapan pertama candat sotong
Candat sotong
Mangsa pertama tewas

Dipukul gelombang

Ketika semua orang tidur, saya dan Hafiz meneruskan aktiviti candat sotong. Pada mulanya kami berjaya menaikkan beberapa ekor sotong. Tak lama selepas tu, kami dapat lihat sotong-sotong jarum berenang-renang berhampiran bot tapi tak makan umpan.

Seorang lagi tekong juga mencandat menggunakan candat beliau yang bersaiz kecik. Dia mendapat banyak sotong, dah macam letak, tarik, letak tarik.

Mungkin dia kesian tengok kami tak dapat sotong, dia bagi candat dia kat kitorang. Saya bagi kat hafiz sebab saya memang takde bakat dalam aktiviti pancing memancing ni. Kapten kapal pun datang melawat lepas tu dan dia bagi semua sotong yang diorang dapat kat kami.

Kalau nak pergi candat sotong, kena pandai pilih tekong. Ada tekong yang jenis kedekut, dia candat sotong kalau dia dapat dia taknak share tapi tak semua lah. Kena pandai survey, tanya orang dulu.

Sepanjang malam tu, saya tidur jam 11.00 malam bangun jam 12 pagi sebab gelora terlalu kuat sampai air masuk dalam bot (bahagian tengah biasanya memang direka rendah sedikit). Tapi takdelah sampai bertakung dalam bot.

Lepas tu saya teruskan candat sotong sekejap. Waktu nilah saya boleh tengok sotong berenang-renang tepi bot, ikan terbang, ikan merah, ketam berenang di permukaan laut.

Ada satu masa tu, sotong melompat kejar ikan terbang landing atas bot. Melintas depan mata saya. Allahu Akbar. SubhanAllah.

Kilat dan hujan

Di kaki langit saya dapat lihat langit bercahaya disinari kilat, angin juga agak kuat. Lepas tu hujan turun renyai-renyai. Dalam hati dah fikir macam-macam. Orang lain semua dah tidur. Saya pun baring dan azan sambil berdoa janganlah ribut. Life jacket memang saya tak tanggal mula dari naik bot di jeti sampai lah turun balik bot di jeti.

Saya pernah ada pengalaman buruk dalam air jadi saya dah serik, apa orang nak cakap lantaklah. Yang penting kalau ada apa-apa insya Allah saya selamat.

Yang paling mengujakan saya adalah apabila saya dapat lihat ikan Yu aka shark(yu bodoh) terapung dekat bot kejar ikan.

Oleh kerana tak tahan mengantuk sampai tertidur tepi tiang saya tidur sekali lagi jam 2 pagi dan bangun jam 4.30 pagi.

Candat sotong
Tangkapan subuh

Waktu ni laut dah kembali tenang tapi arus dasar kuat sangat. Waktu ni saya dapat tengok betapa laut kita dipenuhi sampah sarap. Plastik Maggi, botol air, tin air, plastik bungkusan terapung-apung di permukaan laut.

Kalau orang dalam bot yang saya naik nak buang sampah ke laut saya memang marah dan tegur mereka. Saya siap sediakan satu plastik untuk kumpulkan plastik bungkusan, tin dan botol yang dah nak buang, ikat kat kerusi dalam bot.

Kalau ada yang nak pergi candat sotong, tolonglah jangan buang sampah dalam laut. Sama-samalah kita jaga kebersihan laut kita. Malu sangat kalau pelancong asing tengok negara unat Islam ramai tapi pengotor.

Balik ke darat

Kami bertolak balik ke daratan jam 7 pagi dan sampai ke jeti lebih kurang jam 8 pagi. Pada mulanya saya ingat kan bot satu lagi tak balik lagi tengok-tengok sampai di jeti muncul pulak bot tu belakang bot kami. Dah semua mabuk laut memang takdenye nak pergi mancing-mancing lagi.

Candat sotong
Subuh
Candat sotong
Balik ke jeti
Candat sotong
Saya, stopa dan kapten yang baik hati

Solat atas bot

Bagi orang-orang yang masih waras, kami solat di bahagian dapur yang ada sikit ruang boleh duduk. Solat duduk sebab saya tak yakin boleh kekal berdiri dalam bot dengan gelombang yang agak kuat.

Solat maghrib dan isyak saya jamak taqdim sebab keadaan yang agak susah untuk solat. Tapi tak qasar.

Solat jamak syaratnya takdelah kena lebih 2 marhalah baru boleh buat. Ada banyak sebab lain yang membolehkan solat jamak antaranya keadaan yang susah untuk solat macam atas bot ni.

Kapten bot kami solat dan tidur atas atap sebab dia dah biasa. Kami ni nak panjat baik atas atap pun tak berani takut jatuh dalam laut.

Candat sotong bot kecik
Dapur dan tempat solat

Makan

Kapten bot kami masakkan nasik dan dah bawak lauk siap-siap untuk kami makan dan buat air kopi kat kitorang. Nasik lauk sambal ikan tenggiri. Memang menyengat betul.

Saya siap tambah nasik. Orang lain semua dah tak larat nak makan. Adelah sorang dua yang bangun tapi makan dua siap dah takleh blah sebab nak muntah.

Encik Hidayat pun makan sikit je lepas tu tak boleh blah dah. Encik stopa boleh makan pagi keesokannya. Kapten bot banyak kali pelawa makan sebab dia cakap kalau perut kosong lagi buat pening sebab angin masuk dalam perut.

Bekalan air tin dan makanan pun saya dan Hafiz je habiskan sebab orang lain semua dah tidur takleh bangun.

Makan atas bot candat sotong
Nasik sambal ikan tenggiri. Shahrul makan tak habis
Masih tewas di subuh hari. Saya dan Hafiz je bertahan
Candat sotong
Bot besar pun tewas juga
Candat sotong matahari terbit
Matahari terbit
Candat sotong
Bot satu lagi
Candat sotong segar
Hasil selepas dibahagi sama rata

Penutup

Pengalaman candat sotong kali pertama ini amatlah berharga bagi saya sebab

  1. Saya tahu kemampuan diri saya, saya tak mabuk (mungkin sebab maka ubat). Orang lain pun makan ubat tapi mabuk juga
  2. Dapat merasai pengalaman nenek moyang saya. Ayah saya keturunan cina, zaman dulu semua naik kapal.
  3. Dapat lihat kebesaran Allah menciptakan laut dan makhluk lautan.
  4. Merasai pengalaman solat dan makan di tengah laut.

Contact number candat sotong

Kalau ada yang nak pergi candat sotong, boleh hubungi Pok Dol 016-8569146 atau Shahrul King 019-9775700.

Baca tips candat sotong di sini.

Leave a Reply