Ikan Salmon dan Kambing Bakar Air Fryer

Air Fryer musim PKP ni dengar ceritanya laku keras. Boleh masak macam-macam guna Air Fryer termasuk bakar ikan, bakar kambing, kek, cheesecake.

Pengalaman saya dengan air fryer ni bermula dari waktu saya di Australia lagi. Tapi jarang-jarang pakai sebab kat sana elektrik mahal. Rumah sewa kami kat sana ada oven gas. Jadi kami banyak pakai oven.

Terjebak dengan Air Fryer

Balik dari Australia, wife saya terus beli Air Fryer jenama Phillips. Kat sini susah nak cari oven pakai gas. Oven elektrik pulak besar gedabak, tak padan kalau nak bakar sikit-sikit.

Kami biasa guna air fryer kalau malas nak berdiri lama-lama goreng ayam, ikan, nugget, kentang dan macam-macam lagi. Lagipun pakai air fryer ni boleh dikatakan sihat sebab tak pakai minyak.



Baru-baru ni ada orang post dalam Facebook buat cheesecake guna air fryer, burnt cheesecake. Percubaan kami kali pertama buat Alhamdulillah jadi. Kami buat dalam loyang petak kecik dan dalam bekas cupcake.

Spoiler alert : buat dalam bekas cupcake lagi cantik.

IDEA bakar-bakar guna Air Fryer

Seminggu sebelum puasa, saya ada shopping kat Giant Kuala Terengganu. Lalu kat bahagian barangan segar, nampak kepingan ikan Salmon .Tiba-tiba teringat rasa dan kesedapan ikan Salmon waktu makan kat Australia dulu.

Ikan Salmon ni special sikit, kat sana murah je ikan ni. Kat sini dekat 30 sekilo. Beli 3 keping besar tapak tangan harga 22 ringgit. Ikan salmon ni istimewanya kalau orang tak pandai masak pun boleh jadi sedap. Sebab masak apa pun gerenti sedap.

Keropok lekor pun saya pernah buat guna Ikan Salmon. Resepinya kat sini.

Jalan depan sikit nampak pulak kepingan daging biri-biri (lamb). Teringat pulak dulu hari-hari makan kambing bakar. Yelah sana kambing murah. Boleh beli makan hari-hari. Ambik 5 keping yang dah pack, 27 ringgit.

Resepi ikan salmon dan kambing bakar Air Fryer

Bahan-bahannya:

Salmon bakar Air Fryer

Masak ikan dalam air fryer
  1. Kepingan ikan salmon
  2. Serbuk kunyit
  3. Garam
  4. Dill leaves tip
  5. Oregano
  6. Ginger Ground
  7. Aluminium Foil

Kambing bakar Air Fryer

Bakar kambing dalam air fryer
  1. Kepingan kambing (lamb)
  2. Serbuk kunyit
  3. Garam
  4. Dill Leaves Tip
  5. Oregano
  6. Ginger Ground
  7. Cumin powder
  8. Aluminium Foil
  9. Minyak masak (1 sudu makan). Minyak zaiton lagi baik.
Resepi bakar air fryer
cumin powder

Cara-cara sediakan perapan:

Salmon bakar Air Fryer

  1. Hamparkan aluminium foil muat-muat untuk bungkus habis sekeping salmon
  2. Taburkan serbuk kunyit, dill leaves tip dan ginger ground atas aluminium foil
  3. Letakkan kepingan salmon atas bahan-bahan tadi
  4. Taburkan sekali lagi serbuk kunyi, dill leaves tip dan ginger ground atas kepingan ikan salmon dan lumurkan ke seluruh bahagian atas tu
  5. Tabur oregano atas kepingan salmon
  6. Balikkan kepingan salmon tu dan lumurkan semua bahan bagi rata termasuk kat tepi(kulit)
  7. Tabur garam atas kepingan salmon secubit ala-ala chef turki hensem tu.
  8. Tabur oregano sekali lagi
  9. Balikkan sekali lagi dan bungkus dengan aluminium foil kemas-kemas. Jangan bagi bocor.

Kambing bakar Air Fryer

  1. Taburkan serbuk kunyit, dill leaves tip, ginger ground dan cumin powder dalam bekas
  2. Cuah minyak dan gaul sebati semua bahan-bahan tu
  3. Masukkan kepingan kambing dan gaul rata bahan dan kepingan daging
  4. Letak atas aluminium foil dan tabur oregano
  5. Balikkan dan tabur oregano sekali lagi.
  6. Tabur garam ala-ala chef turki
  7. Bungkus dengan aluminum foil dan pastikan tak bocor.
Kambing perap air fryer

Perap sekurang-kurangnya sejam. Masuk dalam peti sejuk pun takpe.

Cara masak Salmon dan Kambing bakar dalam Air Fryer:

Salmon

  1. Suhu 200 darjah celcius selama 10 minit
  2. Balikkan
  3. Suhu 180 selama 10 minit
  4. Kalau tak masak lagi tambah 5 minit lagi

Kambing bakar

  1. Suhu 200 selama 10 minit
  2. Balikkan
  3. Suhu 180 selama 10 minit
  4. Kalau suka makan separa masak boleh makan terus
  5. Kalau nak betul-betul masak tambah lagi 10 minit

Hasilnya

Gambar selepas masak tak sempat ambik sebab kelam kabut dah dekat nak berbuka. Maklumlah hari pertama puasa. Sekelip mata je dah masuk perut.

Kambing tu pastikan basuh betul-betul kalau tak suka bau hamis. Basuh guna air campur garam dan gandum sikit, confirm hilang bau hamis.

Leave a Reply