Nikmat disyukuri nikmat diberkati

Syukur nikmat

Tengah hari tadi, seperti biasa saya makan di cafe dalam bangunan pejabat tempat saya bekerja. Kebetulan meja semua dah penuh, saya duduk semeja dengan staff dari department yang berlainan dari department saya. Selesai makan, saya bergerak ke sinki untuk membasuh tangan. Sampai di meja, sahabat tadi pun bangun untuk membasuh tangan. Saya tengok dalam pinggannya, masih terdapat baki nasi dan isi ayam dalam pinggan beliau. Apabila dia duduk semula di meja, saya pun menegur beliau

“Jang, kenapa engkau makan tak habis? Banyak lagi nasi dalam pinggan kau ni. Ayam pun ada isi lagi ni.” Saya adalah pekerja senior dalam syarikat ni, pekerja tadi pula merupakan pekerja junior jadi saya menegur beliau umpama sorang abang menegur perbuatan adiknya.

“Aku tersilap ambil kuah banyak tadi. Aku tak biasa makan kuah banyak” Jawab beliau sambil tersengih.

Seorang pekerja senior lain yang agak rapat dengan beliau turut menegur beliau. Katanya “Engkau ni jang, makan nasi pun tak habis. Apalah engkau ni”

“Inilah salah satu tanda orang yang tak bersyukur” Saya meneruskan teguran. Beliau lantas mengesat tangan di seluarnya dan buat-buat macam nak habiskan nasi tersebut tapi lepas tu beliau tersenyum, tak jadi habiskan.

Saya pun terus keluarkan telefon dan snap gambar pinggan dengan baki nasi dan ayam di atas.

“Nanti kau tengoklah dalam blog aku ye Jang”

Saya percaya, ramai yang pernah berjumpa dengan peristiwa yang saya alami tadi. Mungkin ramai juga yang terpaksa untuk meninggalkan baki makanan atau minuman atas bermacam-macam sebab. Jika anda tidak dapat menghabiskan makanan atau minuman atas sebab terlalu masin, atau terlalu pahit, tambah air, tambah gula pun tak boleh telan atau boleh memudaratkan kesihatan ia masih boleh diterima. Akan tetapi jika anda tidak menghabiskan rezeki atas sebab tak sedap, tawar, salah ambil kuah lebih, tak kena dengan selera. Ingatlah bahawa makanan dan minuman itu adalah rezeki dari Allah. Salah satu tanda bersyukur , adalah dengan menghabiskan makanan dan minuman tersebut. Sanggupkah anda membuang makanan yang diberi oleh ibu anda atau girlfriend di hadapan mereka? Saya percaya kalau girlfriend atau boyfriend yang bagi, pahit pun ditelan sampai terkeluar biji mata.

Bersyukurlah kita masih lagi dikurniakan rezeki. Bersyukurlah kita masih boleh makan nasi, minum air teh o ais. Kalau tak boleh habiskan, berilah makan pada kucing atau anjing atau ayam. Jangan tinggalkan di atas meja untuk dibuang. Demikian halnya juga di kenduri-kenduri terlalu banyak makanan yang ditinggalkan, dibuang dalam plastik sampah. Saya sudah beberapa kali menolong ibu-bapa menguruskan majlis kenduri di kampung, terlalu ramai yang tidak bersyukur. Sampai  dengan perut lapar, ambil nasi sampai penuh pinggan, lauk sampai 3 jenis. Sudahnya, separuh je yang habis. Separuh lagi masuk plastik sampah.


Jang, awak tu muda lagi. Perjalanan hidup awak panjang lagi. Di sini abang nak ceritakan satu kisah yang terjadi pada abang masa abang belajar. Kisah yang buat abang pekakkan telinga bila orang cakap abang makan macam kebulur sebab makan sampai licin. Kisah yang buat abang pedulikan bila orang cakap abang takde adab sebab minum air dalam cawan sampai habis bila bertamu ke rumah orang. Baca cerita ni baik-baik ye Jang:

‘UTM skudai, tahun 2004. Waktu tu abang dalam pengajian ijazah. Terlihat satu iklan cybercafe untuk dijual dengan harga RM25K. Abang tertarik dengan iklan ni, terus telefon kawan baik abang, dia belajar di UITM. Bincang punya bincang, kami sepakat untuk beli CC tu. Kawan abang tu pun turun dari Shah Alam ke Skudai untuk berbincang dengan owner asal CC tu. Owner tu mintak deposit dulu 5k. Kami setuju dan mintak masa untuk cari duit deposit. Abang keluarkan semua duit yang ada dalam akaun abang, kawan abang cari duit dengan kawan yang lain, cukuplah 5K tu, kami bayar deposit dan sign agreement. Lepas tu kawan abang apply pinjaman microcredit dengan BSN. Bila sampai masa untuk buat bayaran, loan tak lulus. Abang bincang dengan owner asal , nak mintak balik deposit. Dia cakap dalam agreement dah setuju deposit tidak akan dikembalikan. Kami merayu, tidak dilayannya. 1 sen pun tak dapat balik. Duit abang masa tu tinggal RM100.00 untuk hidup 1 sem (4 bulan). Abang hidup dengan makan maggi sebungkus sehari. Kadang-kadang makan roti. Masa tu abang makan nasik seminggu sekali je. Masa tu abang memang hargai setiap rezeki walau sebutir nasik. Sampailah satu ketika, abang ikut usrah ada ustaz tu cerita pasal seorang alim yang berjalan-jalan dan nampak seekor anjing lalu dia memandang hina anjing tu. Malamnya orang alim tu bermimpi, anjing tersebut bercakap dengan beliau “Kenapa kau memandang hina aku, tawakkal aku pada Tuhan lebih tinggi dari tawakkal kau. Aku makan tanpa memikirkan akan makanan untuk esok hari sebab aku yakin dengan rezeki Allah.” Lepas tu abang pun insaf dan tidak lagi mencatu makanan. Benarlah janji Allah, walaupun abang tak catu makanan, rezeki abang tidak pernah putus. Pergi surau ada orang buat jamuan, tengok orang histeria, ada orang belanja makan dan macam-macam cara lagi yang kadang-kadang abang sendiri tak pernah terfikir. Akhirnya akak kau tau pasal masalah abang dan dia pinjamkan sedikit duit untuk abang belanja seterusnya mak ayah abang pun tahu pasal ni dan kirimkan duit belanja sehingga habis 4 bulan sem tu.’ 

Lepas peristiwa  yang berlaku pada sem tersebut, tawakkal saya pada Allah bertambah tinggi dan saya lebih mensyukuri setiap nikmat dan rezeki yang Allah bagi. Bila-bila masa Dia boleh tarik balik rezeki dan nikmat yang diberi. Saya mungkin bukan orang yang terbaik untuk bercakap mengenai agama, tetapi saya rasa terpanggil untuk menulis pasal entri ni sebab saya dah jumpa ramai orang yang kadang-kadang tanpa sebarang sebab, tinggalkan baki makanan atau minuman terutamanya di kedai-kedai makan. Cubalah untuk habiskan rezeki yang diberi, paksalah diri untuk habiskan. Bersyukurlah dengan rezeki yang Allah berikan. Barulah ada berkat dalam kehidupan. Rezeki pun akan sentiasa bertambah dengan izin Allah.

Jang dalam cerita ni bukanlah nama sebenar dan owner asal CC dalam kejadian di UTM adalah satu bangsa, satu agama dengan saya.

Post terdahulu : 

Leave a Reply

%d bloggers like this: