Cerita Positif Covid 19 varian Omicron

Hari ini, 7 Mac 2022 merupakan hari ke-6 saya disahkan positif Covid 19 yang saya percaya dari varian Omicron. Hari ni saya dah rasa sihat seperti sebelum dijangkiti virus ini. Kalau mengikut garis masa jangkitan Omicron yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ni simptom sepatutnya berkurangan.

timeline omicron

Saya mula bergejala pada 1 Mac dan melakukan ujian kendiri Covid 19 pada 2 Mac 2022. Kalau ikutkan garis masa di atas, hari tersebut adalah hari ke-4 atau ke-5. Jadi hari ini 7 mac adalah hari yang ke-9 atau 10. Tetapi saya dikenakan perintah kuarantin dalam mysejahtera dari 2 Mac hingga 8 Mac 2022.

Permulaan jangkitan Covid 19

Jangkitan dalam keluarga saya bermula apabila mak mertua saya mendapati dirinya bergejala pada Jumaat, 25 Februari 2022 dan dia terus membuat ujian kendiri Covid 19 dengan keputusan positif. Jiran sebelah rumah yang ada berkunjung pada hari Isnin sebelumnya juga didapati positif pada hari Khamis minggu yang sama. Semua yang lain iaitu bapa mertua, saya, isteri dan anak kami 3 orang negatif.

Jiran tersebut datang dengan memaki topeng muka (face mask) tapi biasalah dah datang rumah mesti nak minum air. Jadi berkemungkinan besar waktu itulah virus merebak dan kebetulan pula dia duduk dekat dengan mak mertua saya. Rasanya tak sampai 15 minit dia bukak mask tapi Omicron memang cepat merebak. Namun kami tidak menyalahkan dia sebab kami juga bergaul dengan banyak orang lain lagi.



Sebaik sahaja dia disahkan positif, mak mertua saya terus dikuarantin dan isolasi dalam biliknya yang ada tandas asing. Kami terus menjalani kehidupan seperti biasa. Kami juga memastikan segala langkah pencegahan diambil ketika pemeriksaan kesihatan dan hantar makanan ke bilik kuarantin.

Namun, jangkitan tetap berlaku apabila isteri dan anak sulung serta anak kedua saya mula demam pada hari Isnin 28 Februari iaitu hari ke-4 selepas kontak terakhir tetapi ujian kendiri yang dijalankan hari tersebut berkeputusan negatif.

Demam panas

Pagi hari Selasa 1 Mac jam 4.00 pagi saya tersedar anak saya yang ketiga (umur 3 tahun) demam dengan suhu 38.7 darjah celcius. Kami terus beri ubat paracetamol dan berjaya menurunkan sedikit suhu badannya. Siangnya kami dapat tahu bapa mertua juga sebenarnya sudah bergejala sejak dari hari Ahad tetapi dia makan Paracetamol dan dia ingatkan demam biasa.

Saya tengok dia dah start batuk-batuk dan rasa mengah serta nampak kelesuan. Saya pun minta dia buat ujian kendiri yang mana pada awalnya nampak macam ada satu garis di garisan C dan macam ada garis samar-samar di garisan T. Saya suruh tunggu dulu 15 minit. Selepas 15 minit, garis di garisan T sudah mula jelas kelihatan dan dia disahkan postif. Isteri saya masih ada sakit tekak dan demam seta kelesuan. Saya pun dah start rasa sakit orat dan lemah badan tapi takde demam atau batuk.

Anak saya terus demam sehingga pagi esoknya dia sembuh dan suhu kembali normal. Kami sentiasa memerhatikan suhu badan dan kadar oksigen (SPO2) anak kerana dia ada sejarah asma. Alhamdulillah virus COVID 19 tersebut tidak menyerang sistem pernafasan anak saya.

Ujian Kendiri Covid 19 kali kedua

Pagi Rabu 2 Mac saya minta isteri saya buat ujian kendiri sekali lagi dan hasilnya sama seperti bapa mertua semalam, garisan di bahagian T mula timbul samar-samar, selepas 15 minit baru ianya nampak jelas. Anak yang ketiga umur 3 tahun tadi pun saya buat ujian kendiri menggunakan air dalam hidung dengan batang persampelan yang diberi bersama dengan kit ujian kendiri Covid 19. Anak yang sulung dan kedua juga kami suruh buat ujian kendiri. Diorang dah biasa buat kat sekolah so, takde masalahlah.

Akhir sekali saya buat ujian kendiri Covid 19 untuk diri saya dan keputusannya agak lambat keluar yang mana kedua-dua garisan C dan T kelihatan samar-samar sehingga 15 minit barulah kedua-duanya kelihatan jelas.

Keputusan ujian :

Saya : positif (lengkap booster)
Isteri : positif (lengkap booster)
Anak sulung : negatif (12 tahun lengkap 2 dos)
Anak kedua : negatif (8 tahun baru 1 dos)
Anak ketiga : positif (3 tahun tiada vaksin Covid)

Ibu dan bapa mertua juga lengkap booster Vaksin Covid 19.

Kami asingkan anak sulung dan yang kedua dalam bilik mereka dan kami juga hanya kekal di tingkat atas rumah kami manakala ibu dan bapa mertua di bahagian bawah untuk mengelakkan jangkitan silang. Kami hanya turun sekali-sekala dan memaki face mask setiap kali keluar dari bilik.

Ada kemungkinan juga anak sulung dan kedua sudah sembuh sepenuhnya kerana mereka sudah demam panas pada hari Ahad dan sembuh sepenuhnya pada hari Selasa sebelum hari buat ujian kendiri. Tetapi sebagai langkah pencegahan kami anggap mereka masih belum dijangkiti.

positive RAT
Kedua-dua garisan nampak samar-samar tapi sebenarnya ada

Gejala Covid 19

Berikut saya ringkaskan perjalanan saya menghadapi jangkitan Covid 19

  • Rabu Hari 1 : Sakit urat dan mula batuk. Oksigen 96-97%, degupan jantung >100 bpm
  • Khamis Hari 2 : Sakit urat makin teruk batuk makin kerap, demam sekejap petang, tapi terus sembuh selepas makan Paracetamol. Oksigen 96-97%, degupan jantung >100 bpm
  • Jumaat Hari 3 : Sakit urat dan kelesuan mula berkurangan, batuk mula berkurangan, mata rasa senak. Oksigen 96-97%, degupan jantung >100 bpm
  • Sabtu Hari 4 : Sakit urat dan kelesuan mula hilang, batuk dah terlalu jarang, mata masih rasa senak. Oksigen 97-98%, degupan jantung 80-90 bpm. Mengalami mimpi buruk.
  • Ahad Hari 5 : Sakit urat dan kelesuan dah hilang, batuk boleh kata dah hilang, senak mata dah hilang. Oksigen 98-99%, degupan jantung 70-80 bpm
  • Isnin Hari 7 : Semua gejala dah hilang, rasa sihat. Oksigen 98-99%, degupan jantung 60-70 bpm

Apa yang saya boleh rasa efek ketara dari Covid 19 ni adalah mudah mengah. Hari 1 hingga hari ke 3 macam jalan sikit dah rasa mengah. Tapi ia berkurangan dari hari ke hari.

Kemungkinan hari saya disahkan positif adalah hari ke-4 atau ke-5 jangkitan jadi hari ke 7 adalah hari yang ke-9 tetapi untuk langkah berjaga-jaga, saya anggap hari ni adalah hari ke 7 dan akan menghabiskan kuarantin terakhir esok iaitu hari ke-8.

Saya juga meminta anak-anak yang negatif tadi untuk mengulangi ujian kendiri pada hari Sabtu iaitu hari ketiga selepas ujian kali pertama dan Alhamdulillah mereka masih lagi negatif.

Lindungi anak-anak dari Covid 19

Walaupun gejala dari varian Omicron adalah gejala ringan namun iannya boleh jadi gejala berat pada golongan warga emas dan mempunyai komorbid serta anak-anak yang masih belum divaksin. Sebagai contoh anak yang ke-3 mengalami demam panas hampir mencecah suhu 40 darjah celcius.

Saya dan isteri bergilir buat tepid sponging untuk menurunkan suhu badan si kecik tu dan sentisa pastikan dia diberi makan ubat setiap 4-6 jam sekali. Kami juga mengawal suhu persekitaran dengan menghidupkan penghawa dingin. Kami antara yang berkemampuan dan berkemudahan ada termometer, ada SPO2 meter, ada penghawa dingin. Anak-anak kecil boleh terkena sawan sekiranya demam panas terlalu tinggi melebihi 40 darjah celcius.

Anak saya mula sembuh jam 4 pagi keesokan harinya iaitu lebih kurang 24 jam dari waktu dia mula demam. Dia tiba-tiba terkejut dari tidur dan kelihatan gementar. Saya dan isteri mula cuak takut dia sawan tapi Alhamdulillah selepas kami tanya kenapa dia gementar dia respon dia sejuk. Saya check suhu dia dan turun 37.4 darjah celcius dan oksigen level serta jantung dia juga normal. Siangnya saya tanya dia kenapa dia takut sangat dia cakap dia mimpi takut.

Mungkin waktu nak baik COVID memang ada mimpi buruk ke macam mana. WaAllahua’lam.

Kebiasaannya anak-anak akan mengalami demam panas sehari semalam sahaja sebagaimana yang berlaku panda anak saya dan beberapa kawan-kawan yang mempunyai anak -anak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID 19. Kita kena jaga-jaga dengan suhu dan paras oksigen serta kadar denyutan jantung mereka dan pastikan mereka banyak berehat.

Sekiranya berlaku pada golongan yang tidak berkemampuan dan tidak berkemudahan ianya boleh jadi lebih teruk sehingga ke tahap sawan. Sama juga dengan warga emas dan golongan yang ada komorbid, ia boleh jadi lebih teruk sekiranya tidak ada kemudahan untuk memantau tanda-tanda vital penting.

Langkah Pencegahan dan Isolasi Covid 19

Di sini saya kongsikan langkah-langkah pencegahan yang saya dan isteri amalkan bagi mengelakkan jangkitan silang:

  1. Sentiasa paka face mask apabila keluar dari bilik
  2. Sekiranya berkongsi makanan pastikan anak yang negatif makan dahulu baru kami ambil
  3. Pesan kat anak untuk spray santizer setiap kali kami hantar barang
  4. Pastikan anak yang negatif juga pakai face mask setiap kali keluar bilik
  5. Pastikan cuci tangan seblum sentuh peti sejuk atau suis lampu
  6. Sanitize bilik air selepas digunakan orang positif sekiranya berkingsi tandas(kami terpaksa kongsi tandas)
  7. Sentiasa pakai face mask apabila mengendalikan barangan yang akan digunakan anak yang negatif Covid

Untuk sanitize bilik mandi dan kawasan ruang tamu, saya buat sendiri larutan sanitizer letak dalam spray penyembur pokok mengikut sukatan yang dicadangkan oleh KKM iaitu 1 bahagian clorox dan 9 bahagian air. Saya pakai penyembur 2 liter jadi saya campurkan dengan 200ml clorox.

Penyembur sanitizer

Langkah Pencegahan Pasca Jangkitan

Sebagai langkah pencegahan tambahan, kami ada menempah dengan penyedia khidmat sanitizer di kawasan kami untuk membuat sanitizing seluruh rumah dan kereta selepas tarikh kuarantin kami tamat iaitu 9 Mac 2022.

Diharapkan pekongsian saya kali ini memberi manfaat pada pembaca semua. Sekiranya disahkan positif, bertenang dan lapor dalam mysejahtera serta tunggu arahan lanjut. Yang penting monitor suhu badan, kadar oksigen dan denyutan jantung. Banyakkan berehat dan kurangkan pergerakan termasuk percakapan.

Kalau ada kemudahan, boleh minum air kelapa campur garam dan lemon atau limau nipis untuk tambah tenaga. Insya Allah membantu.

Pasca COVID kalau mengikut bacaan saya, kita masih perlu mengamalkan cara hidup sihat dan makan banyak vitamin C sama ada secara alami atau sebagai makanan tambahan sebab virus Covid masih ada dalam tubuh cuma tidak boleh membiak dan tidak boleh menjangkiti orang lain.

Leave a Reply